Monday, July 19, 2010

Masalah Murid Semasa Praktikum Fasa I

Banyak perkara saya pelajari semasa menjalankan praktikum di Sekolah Kebangsaan Gas, Sandakan. Saya telah mengenal pasti pelbagai jenis masalah yang dihadapi oleh murid di sekolah ini, seperti masalah peribadi (5%), masalah emosi (15%), masalah akademik (25%), masalah sosial (20%) dan masalah salah laku ( 35%).

Berdasarkan kepada jadual kekerapan masalah murid yang telah dibuat, masalah yang sering berlaku dan agak serius ialah masalah salah laku, iaitu murid tidak menyiapkan kerja rumah Matematik. Ada yang menyiapkan separuh dari kerja rumah mereka dan terdapat juga di antara mereka yang langsung tidak mengambil perhatian ke atas kerja rumah pada setiap kali diberikan aktiviti susulan. Untuk mengenal pasti murid yang bermasalah, saya telah mengajak murid-murid untuk berbincang. Melalui sesi temu bual, saya akan cuba mengenal pasti dan mencungkil masalah daripada murid. Pada masa yang sama, saya juga menggunakan kaedah pemerhatian, iaitu menyediakan rekod anekdot untuk mengumpul maklumat tingkah laku murid tanpa bahasa.

Berdasarkan kepada laporan pemerhatian yang telah dibuat, saya telah mengenal pasti bahawa punca–punca masalah ini adalah disebabkan oleh diri murid, rakan sebaya keluarga dan kaedah serta bahan pengajaran yang tidak sesuai. Kebanyakan murid adalah bersikap negatif, tidak bertanggungjawab terhadap aktiviti pembelajaran mereka dan mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya yang malas. Selain daripada itu, golongan murid ini tiada dorongan untuk membuat kerja rumah daripada ibu bapa dan rakan sebaya. Ada sebilangan murid berpendapat bahawa angka–angka yang dipelajari itu kurang relevan dengan kehidupan sehari–hari. Mereka sukar memahami bagaimana topik seperti ?Ayat–ayat matematik itu berguna dalam kehidupan mereka ? Oleh itu, mereka akan berasa bosan dan tidak berminat untuk membuat latihan Matematik.

Banyak kesan yang akan dihadapi oleh guru dan murid sekiranya masalah ini masih terus berlaku lagi di kelas. Pertama, kesan terhadap aktiviti pengajaran, peruntukan masa serta penilaian guru akan terganggu dan terjejas seperti guru tidak dapat menjalankan aktiviti pengajaran dengan baik, terpaksa memperuntukkan banyak masa untuk menjalankan penyelesaian dan tidak dapat menerima maklum balas murid melalui aktiviti susulan. Kedua, kesan terhadap aktiviti pembelajaran dan tabiat murid, seperti tidak mempunyai peluang mengaplikasikan dan mengukuhkan konsep atau kemahiran yang baru mereka belajar serta mengamalkan sikap malas dan tidak bertanggungjawab.

Pada pendapat saya, pujian dan kata–kata perangsang ialah satu jenis alat rangsangan yang tidak terlazim. Warna juga boleh dijadikan sebagai alat rangsangan yang tidak terlazim, seperti warna merah. Ia boleh merangsangkan seseorang itu cepat merasa lapar dan ingin makan dengan banyak. Oleh sebab itu, banyak kedai makan suka dicat dengan warna yang terang seperti merah, kuning atau biru.Untuk memberikan rangsangan kepada murid, saya telah menggunakan teknik peneguhan positif, iaitu memberi motivasi dalam bentuk pujian dan kata–kata perangsang untuk menyiapkan kerja rumah Matematik. Tetapi, penyelesaian ini tidak berkesan dan kurang memuaskan, kerana motivasi yang diberikan oleh guru adalah tidak dapat membangkitkan tingkah laku positif, iaitu menyiapkan kerja rumah Matematik. Pemikiran murid tidak jauh dan kurang mementingkan masa depan mereka. Selain daripada itu, golongan murid ini jarang mendapatkan dorongan untuk menyiapkan kerja rumah daripada ibu bapa atau rakan sebaya.

Selepas itu, saya telah menggunakan teknik peneguhan negatif untuk mengelakkan atau menghindari kepada murid tidak menyiapkan kerja rumah Matematik. Walaupun peneguhan negatif diberi untuk membawa kesan yang tidak menyeronokkan atau memalukan, yang ingin dihindari oleh seseorang individu., tetapi sangat berkesan untuk menghadapi masalah murid, terutamanya golongan murid yang berumur dalam lingkungan 7?2 tahun. Mereka lebih berasa takut apabila guru mengambil tindakan untuk mendendanya. Pada pendapat saya, merotan murid dengan cara yang betul merupakan satu penyelesaian yang sangat berkesan, kerana ia dapat memberikan demonstrasi kepada murid dengan jelas dan nyata, iaitu merotan murid itu di depan murid–murid lain apabila tidak menyiapkan kerja rumah. Dengan itu, saya telah membuat satu eksperimen pada murid–murid, iaitu mana satu kumpulan yang telah kalah dalam kuiz matematik, mereka akan didenda kehilangan lima minit masa rehat. Eksperimen ini telah berjaya menunjukkan bahawa murid adalah lebih mengambil perhatian dan penumpuan terhadap peneguhan negatif, kerana mereka takut menghadapi kesan–kesan peneguhan negatif dan pula tidak mahu kehilangan layanan yang baik daripada guru. Oleh itu, saya telah menahan murid yang tidak menyiapkan kerja rumah di dalam kelas untuk menyiapkan kerja rumahnya semasa rehat ataupun selepas sekolah.

Selain daripada itu, saya juga membuat pengubahsuaian dalam pengurusan strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, terutamanya menggunakan kaedah dan teknik bermain dikaitkan dengan kaedah dan teknik mengajar seperti penyelesaian masalah matematik. Saya juga menggunakan strategi pemusatan bahan, seperti radio, gambar, model, benda konkrit, bahan bercetak, radas dan kad jalur berpetak dalam proses pengajaraan dan pembelajaran. Bahan pengajaran yang disediakan itu telah berjaya menarik minat murid untuk membuat tugasan dan juga mudah difahami oleh setiap murid. Tujuannya adalah untuk merangsangkan murid–murid supaya mereka dapat memberikan tumpuan dan minat terhadap kerja rumah. Di samping itu, murid tidak akan berasa bosan dan sebaliknya dia merasa sangat bangga sekiranya berjaya menyelesaikan tugasan, iaitu latihan dalam buku kerja Matematik. Pada pendapat saya, guru ialah seorang pelakon, dia mesti pandai menonjolkan kebakatannya supaya terdapat banyak penonton suka akan lakonannya. Manakala, murid ialah penonton dan dia akan menyaksikan pertunjukan yang disembahkan oleh guru di dalam kelas. Oleh itu, guru mestilah pandai memilih dan mengurus strategi yang sesuai untuk mencapai objektif jangka panjang sesuatu pendekatan. Penyelesaian ini juga berkesan untuk menyelesaikan masalah murid dengan baik.

Untuk memahami dan menyelesaikan masalah–masalah murid ini, saya telah mengadakan perbincangan serta kolaborasi dengan kedua–dua orang guru pembimbing dan juga pensyarah pembimbing. Selain daripada itu, saya juga cuba membuat pemerhatian dan kajian dengan sendiri, iaitu mengkaji maklumat–maklumat murid melalui borang soal selidik dan rekod anekdot yang telah disediakan untuk menyelesaikan masalah murid di dalam kelas ini.

Catatan: Refleksi ini dibuat oleh seorang pelatih semester 4 yang menjalankan Praktikum Fasa I. Tumpuannya ialah masalah murid-muridnya dalam kelas matematik. Diharap refleksi ini boleh dijadikan satu kes kajian untuk perbincangan dalam bilik kuliah.


sumber

No comments:

Post a Comment

Share

Sebarkan.

Related Posts with Thumbnails