Thursday, July 15, 2010

REFLEKSI KENDIRI

Pada 22 hingga 26 Mac 2009, saya telah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah(PBS) di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut(SKKB). Pada hari pertama berada di SKKB merupakan hari yang paling mendebarkan diri saya kerana ini merupakan kali pertama saya menjalani PBS dan merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke alam persekolahan setelah hampir 3 tahun saya meninggalkan alam persekolahan ini.

Seawal jam 7.10 pagi saya telah melaporkan diri kepada guru besar SKKB iaitu En. Che Husin bin Ismail di pejabat beliau. Beliau sebagai guru besar SKKB begitu mengalu-alukan kehadiran saya disana dan bersedia untuk memberi tunjuk ajar kepada saya dan membantu saya dalam menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Setelah melaporkan diri, saya dikehendaki mengikuti majlis perhimpunan mingguan sekolah bersama-sama para pelajar dan guru yang lain. Ini merupakan kali pertama saya berada di barisan hadapan sebagai seorang bakal guru dan saya berasa amat teruja sekali. Ketika majlis berlangsung, saya telah diminta untuk memperkenalkan diri saya dihadapan semua guru dan pelajar dan menyatakan serba sedikit tentang tujuan dan beberapa perkara lain lagi.

Pada hari pertama ini juga, saya terpegun melihat senario para pelajar dan persekitarannya dimana amat sukar bagi saya melihatnya disekolah-sekolah lain. Para pelajar disini saya lihat begitu berdisiplin dan begitu mengambil berat terhadap kebersihan. Pada awal bagi iaitu seawal jam 7.25 pagi, para pelajar sudah berada di kawasan persekitaran kelas mereka dan mula membersihkan kawasan mereka. Kawasan sekolah begitu ceria dan bersih sekali sehinggakan begitu sukar untuk saya melihat sampah walaupun dikawasan yang agak tesorok.

Hari pertama berada di SKKB begitu mengujakan saya. Selepas majlis perhimpunan tamat, saya dan beberapa rakan lain yang menjalani PBS di SKKB perlu menghadiri satu taklimat khas berkaitan beberapa perkara tentang PBS ini yang diberikan oleh guru pembimbing iaitu guru penolong kanan 1 SKKB. Hari pertama saya di SKKB tidak berakhir begitu sahaja, saya dikejutkan dengan latihan kebakaran yang dilakukan oleh pihak sekolah dengan kerjasama pihak Bomba Besut. Hari pertama ini saya catatkan sebagai hari yang begitu menarik kerana pelbagai ragam dan pelbagai perkara yang tidak pernah saya lalui atau sudah lama saya tidak rasai dapat saya rasai kembali pada hari ini sebagai seorang bakal guru.

Walaupun baru hari pertama, saya telah mula menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan kepada saya agar saya tidak kelam kabut pada saat-saat terakhir seterusnya memberi saya lebih banyak masalah lagi. Pada hari ini, saya telah mula bersuai kenal dengan guru-guru disana yang rata-rata begitu ramah dan mudah untuk didekati. Sebagai orang luar, saya begitu menjaga tata tertib dan tingkah laku saya agar tidak mencemarkan maruah saya dan maruah IPGM Kampus Kota Bharu. Guru-guru yang terdiri dari pelbagai peringkat umur semuanya mesra dan ini memudahkan saya dalam berkomunikasi dengan mereka.

Pada hari kedua berada di SKKB, saya begitu bersemangat untuk meneruskan tugasan saya dan pada hari ini saya dikejutkan dengan begitu banyak perkara. Saya telah diberikan tugas oleh penolong kanak 1 untuk menggantikan kelas guru yang tidak dapat hadir ke sekolah kerana ada program diluar sekolah. Saya begitu terkejut, berdebar dan seronok kerana diberi peluang untuk memasuki kelas dan memudahkan saya dalam menyiapkan tugasan saya iaitu untuk melihat sendiri suasana pelajar belajar dalam kelas.

Saya begitu lega sekali kerana berjaya mengawal kelas dengan begitu baik sekali dan segala ilmu yang diberikan oleh guru-guru yang sempat saya temui sebelum memasuki kelas telah saya praktikkan dengan sebaik mungkin. Para pelajar juga saya lihat begitu senang dan mudah untuk saya dekati dan mereka selesa untuk bersama saya dan ini memang memberikan saya satu tanggapan positif terhadap suasana belajar di sekolah ini.

Hari ketiga juga penuh dengan aktiviti dan perkara-perkara yang menarik minat saya. Selain menggantikan kelas, saya juga diminta untuk bersama-sama menghadiri mesyuarat sekolah mengenai majlis maulidur rasul yang akan diadakan pada hari khamis ini. Ketika menghadiri mesyuarat itu, saya telah banyak menimba pengalaman dan belajar tentang suasana dan cara bermesyurat dan segala ilmu yang telah saya pelajari telah saya praktikkan. Ketika mesyuarat tersebut, saya telah diberikan tugas untuk menyelia makanan dan minuman untuk guru dan para pelajar.

Pada hari ini, saya lebih banyak fokus kepada persekitaran sekolah seperti kantin, taman sains, tapak perkhemahan dan banyak lagi. Antara tempat yang paling menarik minat saya ialah kantin dan taman sains. Kawasan kantin sangat bersih sama ada sebelum, ketika dan selepas waktu rehat pelajar. Ketika di kantin, para pelajar dilihat beratur untuk membeli makanan dan tidak membuat bising. Suasana dikantin juga begitu ceria dan penuh dengan pelbagai input pengetahuan buat para pelajar seperti sifir-sifir diletakkan di atas meja, dan banyak lagi input lain. Ini selaras dengan pendekatan untuk mewujudkan pembelajaran berterusan, menarik, bila-bila masa dan dimana juga.

Taman sains SKKB juga merupakan satu tempat yang begitu indah dan penuh dengan ketenangan. Bersesuaian dengan ini, satu tempat untuk para pelajar belajar di kawasan taman telah diwujudkan dan ianya begitu menarik minat para pelajar untuk belajar disana ketika rehat ataupun ketika waktu petang. Terletak bersebelahan dengan pondok belajar didalam taman sains, dua buah kolam ikan air tawar telah dibina dan antara ikan yang dipelihara oleh SKKB ialah ikan keli dan ikan patin. Program ini sungguh menarik dimana para pelajar boleh belajar diluar bilik darjah dan bersesuaian dengan topik atau subjek yang mereka pelajari.

Hari keempat berada di SKKB merupakan hari Rabu iaitu hari kokurikulum. Pada hari ini dapat saya lihat semua pelajar dan guru memakai pakaian seragam unit berunifom masing-masing seperti pengakap, tunas puteri dan lain-lain lagi. Oleh kerena tidak memakai pakaian seragam seperti mereka, saya berasa agak tidak selesa untuk bergerak kerana sentiasa menjadi perhatian orang lain. Walaubagaimanapun, saya kuatkan semangat dan lalui hari keempat di SKKB dengan penuh semangat seperti biasa.

Pada hari kelima iaitu pada hari terakhir saya berada di SKKB, program maulidur rasul dijalankan. Kami berarak dari SKKB hinggalah ke Pekan Besut melalui jalan pantai. Sambil berarak, kami semua berselawat hinggalah sampai ke dewan terbukan di Pekan Besut. Selepas program maulidur rasul di dewan tamat, kami berarak pulang dan di SKKB diadakan jamuan untuk para pelajar dan guru-guru.

Ketika ini, perasaan sedih mula menyelubungi diri kerana ini bermakna tamatlah PBS saya di SKKB. Saya sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru kerana banyak membantu saya selama saya berada di SKKB dan telah banyak berkongsi pengalaman pahit manis mereka bersama saya. Saya juga berasa sedih untuk melangkah keluar dari SKKB setelah dapat mengenali ramai para pelajar yang baik-baik dan bercita-cita besar dalam meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar.

Hari-hari berada di SKKB begitu bemakna dalam hidup saya kerana begitu banyak perkara saya pelajari dan ini memberikan saya satu peluang untuk menjadi seorang guru yang berkaliber. Saya berharap, pada PBS yang seterusnya saya akan dapat menimba lebih banyak ilmu pengetahuan tentang profesion keguruan ini bagi membuat persedian menjadi seorang guru yang terbaik.




Disediakan Oleh:

No comments:

Post a Comment

Share

Sebarkan.

Related Posts with Thumbnails