Wednesday, July 7, 2010


Pada 29 Oktober yang lepas, saya telah menghadiri satu seminar Bina Insan Guru(BIG) bertempat di Dewan Wawasan IPGM Kampus Kota Bharu. Seminar ini telah dihadiri oleh semua pelajar PISMP semester 2 dimana melibatkan hampir 200 orang pelajar. Seminar ini telah diberikan oleh Timbalan Pengarah IPGM Kampus Kota Bharu sendiri iaitu Tuan Haji Yajid bin Yaakob.
Seminar ini sebenarnya dibahagikan kepada beberapa sesi iaitu sesi ceramah yang disampaikan oleh Tuan Haji Yajid, sesi soal jawab, dan sesi bengkel dimana melibatkan para pelajar dan tutor masing-masing berbincang tentang tajuk dibawah tema yang diberikan.

Selama mengikuti seminar ini, begitu banyak perkara yang sempat saya pelajari sama ada secara langsung atau tidak langsung. Seminar yang dimulakan dengan ceramah yang bertajuk “Budaya Guru” begitu menarik perhatian saya dari awal lagi. Semasa sesi ceramah terutamanya, penceramah telah banyak menyedarkan saya tentang kesediaan kami sebagai bakal guru dalam mengamalkan budaya-budaya profesional sejak dari sekarang lagi.

Antara perkara yang begitu ditekankan oleh Tuan Haji Yajid selaku penceramah pada hari tersebut ialah budaya bakal-bakal pendidik sekarang yang begitu jauh menyimpang dari budaya guru yang sebenar yang sepatutnya diamalkan oleh guru-gur pelatih. Mendengar “muqaddimah” yang begitu menarik dari penceramah membuatkan semua pelajar begitu khusyuk mendengar ceramah dari beliau. Satu persatu penceramah memberi teguran kepada para guru pelatih bermula dengan gaya pemakaian segelintir guru pelatih sekarang yang langsung tidak mencerminkan seorang guru. Penceramah menegur segelintir guru pelatih yang suka memakai pakaian yang menjolok mata dan mereka yang berfesyen ala-ala artis. Melalui teguran dari beliau, saya dapat pelajari bahawa seorang guru itu perlulah mempunyai penampilan yang menarik tetapi bersesuaian dengan seorang guru.

Selain itu, penceramah juga ada menyatakan bahawa sebagai seorang bakal guru, guru pelatih sepatutnya sudah pandai ataupun belajar untuk menyalurkan segala perkara yang ingin disampaikan kepada sesuatu organisasi atau individu melalui saluran yang betul. Teguran dan nasihat ini sebenarnya banyak menyedarkan saya dimana situasi sekarang amat bertepatan dengan apa yang disampaikan oleh penceramah tersebut. Hal ini kerana, sejak kebelakangan ini sudah timbul satu senario dimana mereka yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara lebih suka menyalurkan masalah itu melalui saluran yang tidak betul. Malahan, cara yang dipilih oleh segelintir mereka yang terlibat ini juga dilihat seperti tiada penyelesaian dan mungkin lebih memburukkan lagi keadaan.

Disini saya telah mengenalpasti beberapa kelemahan diri dan rakan-rakan bakal guru dimana cara menyalurkan sesuatu perkara adalah amat penting sekali bagi menjaga dan menjamin kelancaran mencari penyelesaian. Prosedur-prosedur yang telah ditetapkan perlulah diikuti dengan betul supaya meja rundingan dapat dibuka dan satu jalan penyelesaian dapat dibuat. Budaya ini sangat penting dalam kehidupan seorang guru kerana semua ini adalah perkara lumrah yang perlu dihadapi oleh insan bernama seorang guru. Jadi, persediaan dan ilmu bagi membaiki kembali budaya guru pelatih ini harus dilakukan supaya guru pelatih akan menjadi seorang guru yang profesional suatu hari nanti.

Akuantabiliti seorang guru juga turut disentuh oleh penceramah dimana seorang guru ini bertanggungjwab datang ke kelas dan mengajar murid mereka pada masa mengikut jadual yang ditetapkan. Contoh yang diberikan penceramah begitu mudah untuk dikaitkan dengan budaya guru dimana guru perlulah sentiasa bertanggungjawab dan menepati masa. Disini, saya sedar bahawa penceramah mahu menegur dan mengajar guru pelatih tentang pentingnya menepati masa dan melaksanakan tanggungjwab yang telah diberikan. Isu ini jelas menekankan masalah segelintir guru pelatih yang selalu datang lewat ke kuliah dan memberi begitu banyak alasan untuk menyelamatkan diri dari dikenakan tindakan. Isu-isu ini sebenarnya tidak sepatutnya berlaku dikalangan guru pelatih kerana perkara ini benar-benar bertentangan dengan budaya seorang guru. Oleh yang demikian, nasihat dan teguran dari penceramah pasti akan diambil serius oleh kami semua.

Akhir sesi ceramah, penceramah sempat memberikan sedikit peringatan kepada kami semua sebagai bakal-bakal guru supaya membuat satu anjakan paradigma dalam mengamalkan buday guru dalam kehidupan kami bermula dari sekarang lagi. Sesi ceramah kemudian diakhiri dengan satu sesi soal jawab antara penceramah dengan guru pelatih.
Seterusnya, kami semua telah dikehendaki berada dalam satu kumpulan kecil iaitu kumpulan mengikut kelas dan dipantau oleh tutor masing-masing bagi membincangkan beberapa tema keguruan yang telah diberikan. Setelah berbincang dalam kumpulan kami, kami semua telah memilih satu tajuk yang begitu sesuai bagi kami bincangkan iaitu “Guru Insan Mulia”. Walaupun diberikan pilihan dengan pelbagai tema dan tajuk-tajuk lain, kami sepakat memilih tajuk ini kerana ianya adalah satu tajuk yang menarik dan penting untuk dibincangkan bersama.

Antara isi yang dapat kami cungkilkan semasa perbincangan kumpulan ialah guru memikul tanggungjawab besar dalam membentuk anak bangsa kita. ini menjelaskan bahawa tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga mendidik anak bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat.

Maka, dalam merialisasikan harapan yang tinggi ini, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam era pendidikan. Contohnya masalah gejala sosial dikalangan pelajar yang semakin parah, harapan yang mengunung daripada masyarakat kepada guru, sikap sebahagian ibu bapa yang menyerahkan tugas mendidik bulat-bulat kepada guru adalah merupakan cabaran semasa para guru. Namun biar sejuta cabaran mendatang, biar sejuta rintangan menghalang, bagi mereka yang bergelar guru tetap memikul tanggungjawab dengan penuh sabar dan tabah.

Selain itu, tugas seorang guru ini merupakan satu tugas yang dipandang tinggi oleh agama. Setiap ilmu diajar kepada para pelajar dan tidak ada istilah malas dalam kamus seorang guru apabila menyentuh bab mendidik anak bangsa. Setiap tugas dan didikan terhadap murid-murid dibuat tanpa mengharapkan balasan kepadanya, tetapi Cuma mengharapkan agar murin-muridnya berjaya dalam hidup mereka dan itulah balasan yang paling berharga buat insan bergelar guru.

Bagi kami, guru juga telah dijadikan “role model” kepada masyarakat di sekeliling kita. Kenapa guru yang dipilih untuk di contohi? Hal ini kerana seorang guru dipandang mulia oleh masyarakat dan perlu dicontohi mereka. Tatatertib, pergaulan, budi bicara, penampilan dan sebagainya pasti akan menjadi perhatian masyarakat seterusnya menjadi ikutan atau contoh buat masyarakat.

Selepas sesi perbincangan, kami kemudia dikehendaki berkumpul semula dan perlu membentangkan semula semua hasil perbincangan kami pada rakan-rakan guru pelatih. Perkongsian ilmu ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi menambahkan ilmu pengetahuan, tetapi juga banyak memberi pengalaman kepada saya dalam membentangkan hasil perbincangan dan kebolehan untuk bercakap dihadapan audiens yang ramai. Pengalaman berharga seperti itu pasti sukar dicari dan kesempatan yang diberikan ketika menyertai seminar BIG ini amat dihargai.

Akhir sekali, secara kesimpulannya seminar BIG yang telah saya ikuti itu begitu banyak menyedarkan dan mengajar saya untuk menjadi seorang guru yang berkualiti kelak. Segala yang baik pasti akan dijadikan tauladan dan yang buruk akan dijadikan sempadan. Jika diberi peluang untuk menyertai seminar-seminar yang bertemakan profesion keguruan, saya pasti akan menghadirinya dengan niat untuk belajar dan membuat persedian bagi menghadapi hari muka sebagai guru yang berjaya. Semoga refleksi ini dapat menggambarkan segala yang telah saya pelajari dari Seminar BIG ini.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Share

Sebarkan.

Related Posts with Thumbnails